Kisah Pusara

 
 
SUNWAY LAGOON
Masa aku kecik-kecik dulu, tempat rekreasi yang paling famous sekali ialah Sunway Lagoon. Memang menjadi impian semua yang bergelar budak pada zaman aku tu nak pergi Sunway Lagoon. Kiranya orang tu macam best tahap gabanlah kalau dapat pergi. Yang dah merasa pergi pulak, bukan main bercerita dekat sekolah. Tapi aku dan along haram tak merasa. Kami bukan orang senang sangat. Kereta pun tak ada. Dah apa hal pulak nak pergi jauh-jauh ke KL semata-mata nak main kat Water Theme Park. Dekat Felda Lepar Hilir 1 pun berlambak-lambak 'original' punya theme park. Jeram, sungai, longkang. Sebut jek. Kadang-kadang bila hujan lebat, abah lepaskan kami mandi hujan. Tu pun dah cukup heaven bagi kami.
 
MELAWAT KUBURAN
Walaupun kami tak berkesempatan nak berjalan-jalan dan main kat tempat macam tu, abah tetap memastikan kami dapat peluang jugak beriadah macam anak orang lain. Kami kan kanak-kanak yang baru nak membesar. Rekreasi tu adalah aktiviti yang sangat penting bagi kanak-kanak punya mind development. Tiap-tiap hujung minggu biasanya pagi Sabtu, abah akan bawak kami melawat kubur. Di felda abah orang dagang, tak ada saudara-mara di sana jadi kami akan bertenggek saja di pusara siapa-siapa dan abah akan bacakan surah Yasin. Aku dan along yang tak reti ni akan baca saja apa-apa surah lazim yang kami tau. Biasanya Al-Fatihah. Mudah. Lepas tu abah akan bersihkan kawasan kubur. Kutip sampah, potong dahan-dahan kayu pokok besar yang dah reput, cabut rumput-rumput yang menjalar yang menyemakkan kawasan kubur.
 
'PLAYGROUND' YANG SUNYI

Bagi aku dan along masa tu, kawasan kuburan itulah playground kami. Tempat yang kami sangat familiar. Berkejar-kejar keliling nisan putih yang berceracak, sedikit pun kami tak ada perasaan takut. Dah abah ada. Memanglah tak takut. Cuba kena tinggal situ dua beradik, meraung jugak jawabnya. Harum bunga kemboja putih, bunganya selalu jadi mangsa kami petik. Pokok besar yang rendang  jadi tempat berteduh. Tapi daun-daunnya yang gugur tulah yang buat sepah kawasan kubur. Penghuni-penghuni kubur yang menghuni kawasan itu sekian lama, itulah jiran-jiran kami. Mereka pun dah biasa dengan kami, kenal kami, sebab tulah along dan aku tak pernah disakat sejak kami datang kat situ. Tak pernah lagi demam-demam ke, meracau ke, tersampuk ke lepas balik dari kubur.
 
JUMPA POCONG
Pernah satu ketika, Felda Lepar Hilir 1 heboh pasal hantu pocong. Kononnya ada orang terserempak pocong dekat kawasan kubur. Bukan sorang dua, ramai yang jumpa. Kecoh satu felda. Orang takut nak keluar pagi-pagi nak pergi memotong getah. Lepas Maghrib semua takut nak keluar rumah merayau-rayau, bimbang disakat pocong.
Hujung minggu tu macam biasa walaupun satu felda dah heboh dengan cerita pocong, abah tetap bawak aku dengan along pergi kubur macam biasa. Aku ingat masa naik motor tu, aku pejam mata. Takut ternampak pocong. Tapi masa tu abah bawak motor, aku duduk kat tengah, along yang duduk paling belakang. Aku fikir kalau pocong datang pun mesti dia amik along dulu sebab along duduk belakang. Tapi hari tu, tak ada pape yang pelik pun di kubur. Tak ada pun kami disergah dek pocong. Kami pergi pun masa hari siang. Pagi to be exact. Pocong belum bangun lagi agaknya. Maka kami pun mulakan rutin macam biasa, sedekahkan ayat-ayat suci, bersihkan kubur, merayau-rayau atas kubur.
On the way balik, kami nampak benda yang menakutkan tu. Guess what? Kami nampak pocong!! Elok aje dia terbujur melintang jalan, warna putih. Separuh dalam semak, separuh lagi atas jalan. Ada tali pengikat dekat kepala dengan kaki. Wah, nilah agaknya pocong yang orang kampung jumpa tu. Abah pun turun dari motor, pergi dekat 'pocong' tu. Sampai dekat abah keluarkan pisau, abah hiris kain yang balut pocong tu. Barulah perasan diorang bukan balut dengan kain, tapi plastik tebal warna putih. Dari jauh memang nampak macam kain. Tahu apa ada dalam tu bila abah belah? SAMPAH!! Sesampah otak orang yang buat kerja macam tu. Abah kata tu mungkin kerja Indon yang duduk rumah kongsi ramai-ramai tu. Saje pedajal orang kampung. Nak takutkan orang kampung. Bila orang kampung dah tak merayau malam-malam senanglah diorang nak buat kerja pape kot. Agaknyelah. Tak lama lepas tu, kami takde dengar lagi cerita orang kampung terserempak dengan pocong.

 
NENEK SI TUKANG JAHIT
Abah dan mama ada kenal sorang nenek. Maaf aku lupa namanya, dah lama sangat. Tapi aku panggil dia nenek. Nenek ni pakar menjahit baju kurung moden. Kenapa aku cakap dia pakar? Sebutlah fesyen apa atau gaya macam mana dia mesti boleh buat punya. Nenek ni lah yang jahitkan baju raya kami. Dari baju kurung kain kembang payung, baju kurung kain bertingkat-tingat pastu dia punya tingkat-tingkat tu senget ke tepi, baju kurung kain belah, kebaya, kebarung, baju kurung style ropol-ropol kat dada sampailah ke baju kurung pesak cotton biasa yang kami pakai pergi mengaji. Semua tempah dekat nenek ni. Bila dah besar ni, kalau aku teringatkan nenek, aku mesti terfikir bukan calang-calang skill nenek tu. Tak ramai dah tukang jahit kampung yang boleh jahit baju kurung berbagai pattern camtu melainkan fashion designer yang terlatih. Maybe nenek ni dah memang kerja tukang jahit masa zaman-zaman Saloma, tahun 50-60an dulu. Zaman tu baju diorang kan banyak pesen-pesen pelik. Style pinggang kecik, style peplum gitu.
Sampai masa, nenek ni pun meninggal dunia (Al-fatihah untuk nenek). Kalau dulu kami datang kubur kami akan duduk saja dekat kubur siapa-siapa. Sejak nenek meninggal, kami akan duduk di kubur nenek. Bacakan Yasin di kubur nenek. Tapi kami masih akan bersihkan seluruh kawasan kubur macam biasa. Rutin kami berterusan sampailah akhirnya kami tinggalkan Felda Lepar Hilir 1, Gambang tahun 1995. Masa tu aku Darjah 2.
 
PUSARA ABAH
Sekarang kami dah di Kemaman. Time flies. Aku dah kahwin. Ada dua anak. Along kini mengajar di Puncak Alam jadi dia jarang dapat balik. Abah pun dah tak ada. Kalau dulu abah yang bawak aku dan along pergi tanah perkuburan, sekarang aku pula yang bawak Izzah melawat kubur abah. Kami datang berdua. Petang-petang Jumaat selalu kami datang.  Bila Adam dan Aisya dah besar nanti, dah umur 4, 5 tahun aku pun nak jadikan rutin mingguan kami datang ke kubur abah. Sekali dengan Izzah.
Sesungguhnya kuburan ini banyak mengajar kami. Dulu masa kecil kita tak faham. Bila dah dewasa baru aku faham. Kenapa abah tak bawak kami berjalan-jalan macam ibubapa orang lain. Kenapa kami selalu ke kubur. Kubur ni mendekatkan dengan kematian. Sentiasa mengingatkan kita tentang mati. Mengajar kerendahan hati. Menginsafkan kita dari dosa lampau. Abah nak kami ingat mati.
Aku rindu masa tu. Kami bahagia dalam sederhana. Ada kesyukuran dalam serba kekurangan. Bukan mainan yang mahal-mahal jaminan gembira. Bukan naik kereta besar jaminan gembira.
Naik motor round-round felda, mandi sungai, pergi kubur. Kami happy Kami dididik jadi anak yang berani. Bila datang kubur abah cakap "tengok adik, mana ada hantu. Tengok kita datang kubur tak kena cekik dengan hantu pun". Kuburan ni tempat sunyi. Bila datang, hati pun jadi tenang. Kawasan kubur Kuala Kemaman di tepi pantai, bila datang boleh dengar bunyi ombak menderu. Damailah abah di sana. Cerita ini angah tulis sebab angah rindukan abah. Terlalu rindu. Sehingga sampai satu masa itu, Al-Fatihah untuk arwah abah.
 

 # Alfatihahabah


No comments:

Post a Comment

 

Copyright 2013 © Bazilah Azhar Designed by Ayu Barbydol