Family Goals

One sweet day. Inshaa Allah.
Andai kata ada target nak mewujudkan sebuah famili yang macam ni, aku percaya ibu bapalah orang yang bertanggungjawab memulakannya. Tunjukkan contoh. Jujur, sejuk hati aku tengok gambar ni. Famili yang berjemaah, bahan bacaan yang penuh satu rak.
Di usia perkahwinan yang baru menginjak tahun ketiga, satu tempoh yang amat mentah, aku selalu remind diri sendiri. Inilah arah tuju keluarga kecil aku. Inilah yang sepatutnya menjadi matlamat dalam sebuah keluarga. Sebuah keluarga yang sakinah mawaddah warahmah. Sebuah rumah yang kita merasa aman dan tenang berada di dalamnya. Sebuah rumah yang bila kita di luar, kita terpanggil untuk pulang. Sebuah rumah yang ahlinya sentiasa solat berjemaah. Sebuah rumah yang rak bukunya penuh dengan bahan bacaan berilmiah. Sebuah rumah yang penghuninya bersahabat dengan Al-Quran. Sebuah rumah yang penghuninya selalu makan bersama, di masa lapangnya bermuzakarah tentang akhirat (dulu selalu muzakarah dengan arwah abah (T_T). Paling penting sebuah rumah yang penuh dengan kasih sayang.
Bukan sebuah rumah yang asyik mengumpul pasu-pasu cantik, bukan asyik mengira berapa besar tv, membandingkan perabot-perabot mewah, berapa buah kereta, berapa gah kabinet dapur dan berapa mahal set bilik tidur.
Bila menetapkan target begini, barulah kita berhenti berlumba-lumba mengumpul material duniawi. Yang mana kalau dikumpul seisi dunia ini pun masih belum dapat memuaskan nafsu diri. Aku percaya, kalau kebaikan yang kita idamkan dan ada usaha ke arah itu, Inshaa Allah, Allah akan tolong dan permudahkan. Ya Allah, permudahkan urusankanku. Bimbinglah aku. Amin.


No comments:

Post a Comment

 

Copyright 2013 © Bazilah Azhar Designed by Ayu Barbydol