Daisypath Anniversary tickers
Lilypie Fifth Birthday tickers
Lilypie Fourth Birthday tickers
Lilypie Second Birthday tickers
Lilypie First Birthday tickers

Kelibat Abah

Tadi B bawak pergi makan dekat dataran. Area food court baru bukak yang dekat dengan Masjid Besar Geliga. Lepak Station. Gerai Khairul, kawan ateh yang sama-sama bisnes supply udang dulu. Alhamdulillah, dah jadi taukeh restoran sekarang. Kami pilih gerai dia bukan sebab kenal. In fact, aku tak tau pun itu kedai dia sebenarnya. B pilih gerai tu sebang dia nak makan Char Kuey Teow. 
Kami duduk dan pesan makanan. Sementara menunggu, sembang-sembang kosong dengan B. Masa tulah aku nampak lelaki tu. Seorang lelaki separuh baya datang dan duduk dekat meja depan aku. Dari kedudukan aku, aku cuma nampak belakang dan sisi badan dia sikit. B pulak nampak sebelah kiri lelaki tu. Aku bisik dekat B "abang, orang tu nampak macam abah." B tengok orang tu. Dia geleng kepala. "Lainlah yang." Tegas bunyi nada B. Yakin. Mungkin dari posisi tempat duduk B, dia boleh nampak lelaki tu lebih jelas. Tapi dari kedudukan aku, lelaki tu nampak seiras abah. Aku agak umurnya hujung 50-an atau kalau muda pun mungkin cuma beberapa tahun. Rambut putih dan hitamnya sama banyak. Sama macam abah. Cuma rambut arwah abah lagi ikal. Lelaki ni rambutnya lurus. Lagi satu kalau abah, dia akan selalu pakai kemeja (selalunya plain), tapi lelaki ni pakai T-shirt berkolar. Aku perhati tangannya. Pakai jam. Macam abah. Aku teliti lagi, semakin berminat. Dia pakai cermin mata. Allah. Sama macam abah. Aku rasa semacam menggigil di tempat duduk aku. Kalaulah tak kutahan rasa hati, mesti aku meluru ke meja pak cik tu.
"Pak cik, boleh saya duduk depan pak cik sekejap? Saya rindu abah saya."
Aku tunduk. Cuba sedaya mungkin sorokkan air mata. Lelaki tu datang bertiga dengan isteri dan anak perempuannya. Terasa macam sedang nampak abah, mama dan Izzah makan bertiga. Allah, berilah kekuatan. Rasa rapuh sangat hati masa tu. Anak perempuan dia asyik pandang-pandang aku. Mungkin dia perasan aku rancak sangat memerhati ayah dia. Beberapa minit kemudian, makanan kami sampai. Aku sudukan makanan masuk ke mulut sambil menangis. Char Kuey Teow pun tak tahu apa rasanya. Dalam kepala masa tu nak cepat-cepat habiskan makan dan ajak B balik. Tak sanggup rasanya nak duduk di situ lama-lama. Tak tahulah apa orang meja sebelah-sebelah aku fikir. Ah, paling -paling pun diorang fikir yang aku bergaduh dengan B. Kena marah agakya bini dia tu, sampai menangis. Pedulilah apa diorang fikirkan. Mereka tak kenal aku, dan aku tak kenal mereka. Saat tu yang aku yang merasa, peritnya kehilangan. Malu menangis kat tempat public macam tu pun dah tak terlintas kat kepala.
B sangat memahami. Siap makan, B masuk dalam kedai pergi bayar dan tak lepak-lepak lagi. Biasanya lepas makan dia merokok dulu. "Jom balik sayang." Dalam kereta, barulah rasa bebas. Aku lepaskan segala rasa. Aku nangis semahunya, sampai sesak dan sebak kat dada ni hilang. B biarkan je aku layan perasaan. Tak bercakap sepatah pun dengan aku sampailah ke rumah.
Sampai di rumah. Tahukah korang apa yang aku fikir? Mula-mula sekali aku nak cerita kejadian tadi dekat abah. Seperti terdengar suara hati sendiri. "Abah, tadi angah jumpa orang yang nampak sama macam abah." Tercari-cari kelibat abah di mana-mana tapi tiada. Cepat-cepat aku kekang perasaan, istighfar. Boleh sasau kalau terus macam ni. Aku harus sentiasa ingatkan diriku, ada insan lain yang lukanya lebih dalam. Mama. Sesudah tenang, barulah aku ceritakan peristiwa tadi pada mama dan ateh. Seorang ibu, walau sesedih mana pun diri sendiri tetap cari ruang untuk menenangkan aku. Pujuk aku. Air mata mama bergenang. Mama cakap, "itu rezeki angahla tu. Angah rindu abah, kemudian Allah hantar orang yang macam abah untuk ubat rindu. Kira Alhamdulillah lah tu.
Segalanya kaku
Hati terus menangis
Bila mengenangkan
Dirimu telah tiada

Kau pergi tanpa pesan
Tinggal aku sendiri
Menghitung hari
Tiada daya
Hilanglah sepi

Duhai kekasih hati
Katakanlah padaku
Bahawa semua ini
Hanya igauan mimpi

Aku tak sanggup kasih
Kehilangan dirimu

Walau sedetik rindu mencengkam

Terasa pedih

Doaku kasih kita bersua
Di pintu syurga


Al-fatihah buat kesayanganku. Abah sentiasa angah kenang dalam setiap doa, setiap sujud, setiap hela nafas. Sentiasa dirindui sebagai lelaki yang mencintai kami tanpa syarat. Tanpa memberi apa-apa, kami memiliki segalanya. Kasih-sayangmu melengkapi segala kekurangan. Memberi kami kekuatan menempuh badai, menawan rasa tidak percaya, malah menakluk dunia.

Al-Fatihah.

No comments:

Post a Comment

 

Copyright 2013 © Bazilah Azhar Designed by Ayu Barbydol